Puteri UMNO platform terbaik lahir pemimpin wanita muda





ALOR GAJAH, 27 April (Bernama) -- Pergerakan Puteri UMNO merupakan platform terbaik dalam usaha melahirkan pemimpin muda dalam kalangan kaum wanita di negara ini, kata Ketua Pergerakannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata ia dapat dilihat apabila ramai bakal pemimpin daripada bekas anggota sayap parti Barisan Nasional (BN) diumumkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Setakat ini seramai 17 bekas dan ahli Puteri UMNO telah dipilih sebagai calon pada PRU14 dan ia menunjukkan peningkatan jumlah berbanding PRU lepas.

"Sebagai contoh, di Pahang daripada tiga calon wanita, dua orang daripadanya lahir daripada Pergerakan Puteri UMNO, begitu juga dengan Perlis (dua daripada empat) dan Selangor (tiga)," katanya kepada pemberita selepas Program MOF (Kementerian Kewangan) Bersama Rakyat peringkat negeri Melaka di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan turut dihadiri Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata pencapaian berkenaan membuktikan latihan dan program bagi melahirkan pemimpin wanita muda yang dilaksanakan sayap parti tersebut tidak boleh dipertikaikan dan ia merupakan satu kebanggaan kepada pergerakan itu.

Beliau berkata justeru itu, latihan dan program berkenaan akan terus dilaksanakan untuk melahirkan lebih banyak pelapis pemimpin muda yang akan meneraju kepimpinan parti dan negara pada masa hadapan.

Mas Ermieyati, penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dicalonkan semula bagi kerusi sama pada PRU14 berkata gerak kerja bagi menghadapi PRU14 berjalan lancar dan perjumpaan dengan rakyat di semua peringkat termasuk akar umbi terus dilakukan.

-- BERNAMA