Jangan lakukan provokasi : amaran PDRM kepada penyokong parti




File Bernama

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) --Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua pihak yang mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) di seluruh negara esok supaya tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan penyokong parti politik yang berbeza.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ini perlu untuk mengelakkan tercetusnya kebimbangan dan timbul konflik di kalangan para penyokong.

Sehubungan itu beliau berkata sejumlah anggota polis akan ditempatkan di semua tempat penamaan calon bagi memastikan proses penamaan calon bagi PRU14 berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

"Saya menasihatkan kepada semua penyokong parti politik agar berdisiplin dan mematuhi segala arahan polis ketika proses penamaan calon sedang berlangsung.

"Selain itu, PDRM juga telah siap siaga dengan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sekiranya berlaku ketegangan di kalangan penyokong parti politik," katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata setakat ini PDRM tidak melihat sebarang masalah dan mengharapkan kerjasama semua pihak agar mematuhi nasihat polis termasuk daripada ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

"Saya juga mengingatkan kepada semua pihak agar menghormati tatasusila dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan di bawah peraturan dan undang-undang pilihan raya," katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seramai 2,693 anggota polis akan ditempatkan di sekitar ibu kota dan Putrajaya bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon PRU4.

Katanya anggota berkenaan akan ditempatkan di beberapa kawasan tumpuan melibatkan 12 kawasan Parlimen di enam daerah polis di sini.

Kawasan yang terlibat ialah di sekitar Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Putrajaya.

PDRM sebelum ini mengumumkan bahawa 79,000 anggota polis daripada pelbagai jabatan dan unit akan bertugas mengawal keselamatan dalam PRU14 nanti

-- BERNAMA