Japen Perlis buka pusat media sempena PRU14

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Jabatan Penerangan (Japen) Perlis membuka pusat media bagi memudahkan pengamal media di negeri ini mendapat maklumat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bermula esok hingga 9 Mei ini.
Pengarahnya, Ku Ismail Ku Yahya berkata pusat media tersebut terletak di tingkat 3B, bangunan Bernama Biro Perlis yang akan beroperasi secara rasmi mulai esok dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
"Japen akan membantu pengamal media yang membuat liputan PRU14 mendapatkan maklumat tepat dan jelas serta laporan dan perkembangan terkini pihak-pihak yang terbabit dengan pilihan raya," katanya semasa berucap merasmikan pusat media tersebut, hari ini
Ku Ismail berkata pusat media berkenaan dilengkapi dengan kemudahan WiFi, komputer, pencetak, penyaman udara dan bilik sembahyang di samping makanan dan minuman untuk pengamal media yang menggunakan kemudahan tersebut.
-- BERNAMA