PCS, Anak Negeri bertanding 30 kerusi DUN, 12 Parlimen

KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), kedua-duanya parti tempatan di Sabah, bergabung tenaga untuk bertanding 33 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Senarai calon kedua-dua parti diumumkan dalam majlis bersama di sini hari ini dengan Presiden PCS Datuk Wilfred Mojilip Bumburing menyatakan parti itu akan bertanding di lapan kawasan parlimen dan 18 DUN, manakala Presiden Anak Negeri Datuk Henrynus Amin pula mengumumkan parti itu akan bertanding empat kerusi parlimen dan 12 DUN.
Bumburing ialah penyandang kerusi DUN Tamparuli dan akan mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Henrynus, bekas setiausaha agung PBS, akan bertanding bagi kerusi DUN Kundasang.
Penyandang kerusi DUN Kapayan, Dr Edwin Bossi, yang memenangi kerusi itu semasa menjadi anggota DAP, dipilih untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Penampang atas tiket Anak Negeri.
Tiada calon wanita dalam senarai Anak Negeri, manakala PCS pula akan mempertaruhkan dua calon wanita, termasuk bekas ADUN Matunggong, Jornah Mozihim, yang akan bertanding di kawasan pilihan raya yang sama pada PRU14.
Beliau menang kerusi DUN Matunggong atas tiket PBS dalam PRU11 pada 2004, tetapi tidak bertanding dalam PRU12 pada 2008.
-- BERNAMA