Guna pengalaman sektor perbankan bangunkan Jementah - Calon BN




SEGAMAT, 27 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Chiam Yoke Meng akan menggunakan pengalamannya bekerja dalam bidang perbankan untuk membangunkan ekonomi di kawasan berkenaan.

Chiam, 51, berkata pembangunan ekonomi penduduk Jementah dilihat seakan terhenti selama lima tahun, selepas kawasan tersebut dimenangi Tan Chen Choon daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.

"Saya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman selama lebih 13 tahun bekerja dalam bidang perbankan untuk menjana semula ekonomi Jementah agar ia setanding dengan tempat lain," kata bekas pengurus bank yang mesra dengan panggilan 'Ah Meng' kepada pemberita di sini hari ini.

Calon baharu ditampilkan BN itu berkata fokus utamanya ialah memastikan Jementah tidak tercicir daripada Pelan Tindakan Pembangunan Ekonomi Segamat (SEDAP 2018-2023) yang dilancarkan penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, baru-baru ini.

"Pelan tersebut (SEDAP 2018-2023) bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk Jementah. Satu kerugian besar bagi pengundi Jementah jika mereka menolak pelan pembangunan ini," katanya.

Chiam berkata antara perkara akan dilakukan beliau jika dipilih rakyat pada PRU kali ini adalah memberi penekanan kepada pembangunan industri perkilangan di Jementah, yang sebelum ini hanya bergantung sepenuhnya kepada kegiatan ekonomi berasaskan pertanian.

"Saya faham keperluan anak muda Jementah, mereka mahukan lebih banyak peluang pekerjaan di sini dan saya akan berusaha mewujudkannya agar mereka tidak perlu lagi berhijrah ke tempat lain untuk menyara kehidupan masing-masing," katanya.

Beliau turut berazam untuk mendekati lebih ramai pengundi di kawasan berkenaan bagi menyelami isi hati dan masalah yang dihadapi mereka selama ini.

"Sebagai calon BN, saya bertekad bekerja untuk rakyat dan memastikan tugas utama saya adalah membantu rakyat yang sudah lama merana tanpa pembelaan daripada wakil rakyat pembangkang sebelum ini," katanya.

Chiam yang menetap di Gemas Baharu, berkata bagi memudahkan pengundi, beliau membuka satu kumpulan WhatsApp bagi membolehkan masyarakat mengadu sebarang masalah yang dihadapi, dan beliau akan cuba menyelesaikannya.

Beliau berkata sokongan pengundi Cina di kawasan DUN berkenaan juga meningkat sejak kebelakangan ini, berikutan ketidakpuasan hati mereka dengan khidmat diberikan wakil rakyat pembangkang itu yang jarang turun padang.

Pada PRU13, Tan memenangi kerusi DUN Jementah setelah menewaskan calon BN Dr Lee Hong Tee dengan majoriti 2,196 undi.

-- BERNAMA