PKOKM tiba awal pagi beri sokongan kepada Johari




KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Penyokong dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU ) kerdil hari ini turut memberi sokongan buat penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Jasmie Shafie, 62, berkata mereka sudah mula berkumpul seawal 6.45 pagi untuk bersama-sama berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini.

"Ramai golongan OKU kerdil yang menyertai (penamaan calon) hari ini untuk menyatakan sokongan penuh kami kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

"Beliau selaku wakil rakyat amat prihatin dalam membantu kami jadi ini antara cara kami untuk sama-sama terlibat," kata beliau yang ditemui Bernama di Dewan Komuniti Taman Maluri sebelum berarak ke pusat penamaan sejurus Johari tiba.

Setakat ini, selain Johari daripada Barisan Nasional (BN), dua lagi calon menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa iaitu Rina Harun (PKR-PPBM) dan Mohammad Noor Mohammad (PAS).

-- BERNAMA