Azwan Ali ceriakan penamaan calon DUN Bukit Antarabangsa




KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Suasana penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa hari ini bertambah meriah dengan kehadiran selebriti Mohamed Azwan Ali yang tampil sebagai calon Bebas di Dewan Dato' Ahmad Razali, dekat sini.

Adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu menyerahkan kertas penamaan calon pada 9.25 pagi, yang akan bertanding menggunakan logo Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Beliau yang berbaju merah, serta berkaca mata hitam yang juga sinonim dengan gelaran 'kaki swafoto' itu turut mengambil peluang bergambar bersama calon daripada parti lain sepanjang proses penamaan calon.

Pencalonan Azwan menjadikan kerusi DUN Bukit Antarabangsa berdepan pertandingan lima penjuru apabila beliau bakal berdepan abangnya sendiri, Mohamed Azmin selain tiga calon lain iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Salwa Yunus (Barisan Nasional), Ketua Penerangan PAS Ampang, Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

-- BERNAMA