Parlimen Titiwangsa saksi pertembungan tiga penjuru
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.
BN menampilkan penyandang kerusi itu yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon.
PKR pula mempertaruhkan Ketua Wanita PPBM Rina Harun dan PAS mencalonkan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad yang membuat penampilan kali ketiga di kerusi itu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa Asiah Husin mengumumkan nama calon-calon yang bertanding di pusat penamaan calon di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 866 iaitu 23034 undi, mengalahkan calon PAS Ahmad Zamri Khuzaimi yang mendapat 22168 undi.
-- BERNAMA