Saingan tiga penjuru buat Tok Pa di Parlimen Jeli, DUN Air Lanas





JELI, 28 April (Bernama) -- Penyandang kerusi Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed berdepan saingan tiga penjuru apabila dicabar calon PAS Mohamad Hamid dan Azran Deraman (PKR-PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas di kawasan Parlimen tersebut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan yang juga penyandang kerusi itu, dicabar Datuk Abdullah Ya'kub daripada PAS dan Dr Aminuddin Yaacob (PKR-PPBM).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zulkifle Ab Rahman mengumumkan demikian selepas proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli di sini hari ini. Kerusi DUN Bukit Bunga dan DUN Kuala Balah turut berada di bawah Parlimen Jeli.

Pertandingan tiga penjuru turut berlaku di DUN Bukit Bunga dengan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-UMNO) dicabar Ramzi Mohd Yusoff (PAS) dan Asran Alias (PKR-PPBM).

DUN Kuala Balah pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-UMNO) dan Mohd Apandi Mohamad (PAS) selepas borang pencalonan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran daripada PKR ditolak.

Mustapa yang berbaju Melayu biru, bersampin serta bersongkok diiringi lebih 3,000 penyokongnya yang turut mengadakan bacaan selawat ketika berarak ke pusat penamaan calon.

-- BERNAMA