Puad Zarkashi Sah Tidak Bertanding




BATU PAHAT, 28 April (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini sah tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas tidak menghantar borang pencalonan di Pejabat Daerah Batu Pahat, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini dikhabarkan akan bertanding atas tiket Bebas setelah kecewa namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) Johor yang diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 21 April lepas.

Berikutan itu, beliau kekal sebagai Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat yang disandangnya kini.

Pada 23 April, Mohamed Khaled mengumumkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah yang juga seorang peguam akan menggantikan Mohd Puad untuk bertanding kerusi Parlimen Batu Pahat.

Mohd Puad pernah menjadi Anggota Parlimen Batu Pahat selepas berjaya menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968 undi pada 2008 ketika PRU12.

Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi itu semasa PRU13 selepas tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi yang memperoleh 38,563 undi, dengan majoriti 1,732 undi.

Pada 24 April, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan mana-mana anggota BN termasuk UMNO yang didapati tidak patuh, termasuk bertanding sebagai calon Bebas, akan digugurkan keanggotaan dalam parti secara automatik.

Pada PRU14 ini, Parlimen Batu Pahat menyaksikan pertandingan tiga penjuru BN-PAS-PKR di antara Haliza, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Pengesahan berkenaan dibuat oleh Pegawai Pengurus Mohd Haffiz Ahmad yang mengumumkan nama-nama calon yang sah bertanding pada pukul 11.27 pagi tadi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru di DUN Penggaram, Senggarang dan Rengit.

Bagi DUN Penggaram, Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kang Beng Kuan (BN) akan berhadapan dengan Setiausaha DAP Johor, Gan Peck Cheng (PKR-DAP) dan Misran Samian (PAS).

DUN Senggarang pula menyaksikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Zaidi Japar (BN) bertemu Setiausaha Amanah Johor, Ir Khairuddin Abd Rahim (PKR-AMANAH) dan Dr Mohd Ramli Md Kari (PAS).

Penyandang kerusi DUN Rengit Ayub Jamil (BN) pula akan mempertahankan kerusi berkenaan daripada Malik Faisal Ahmad (PKR) dan Mohd Tumiran Ahmad (PAS).

-- BERNAMA