Empat Penjuru Di Parlimen Bagan
BUTTERWORTH, 28 April (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan menghadapi tiga pencabar dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan pada Pililihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Lim dicabar calon Barisan Nasional (BN)-MCA Lee Beng Seng, Koay Xing Boon (Parti Rakyat Malaysia Bersatu-MU) dan Datuk Huan Cheng Guan daripada Parti Cinta Malaysia (PCM).
Pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk P043 Bagan Datuk Rozali Mohamud pada 12.56 tengah hari yang turut mengumumkan calon-calon bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal dan Bagan Dalam.
Ketiga-tiga kerusi negeri di bawah parlimen itu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu di Sungai Puyu, penyandangnya Phee Boon Poh (PKR-DAP) ditentang Lim Hai Song (BN), Tan Lay Hock (PRM), Neoh Bok Keng (MU) dan Ong Yin Yin (PFP).
DUN Bagan Jermal pula menyaksikan pertandingan antara Ang Chor Keong (BN-MCA), Soon Lip Chee (DAP-PKR), Teoh Chai Deng (PRM), M. Hari Devydran (MU), dan Fabian George Albart (PFP) manakala di Bagan Dalam J.Dhinagaran (BN-MIC) akan berdepan M.Satees (DAP-PKR), Teoh Huck Ping (PRM), Teoh Uat Lye (MU) dan Jasper Ooi Zong Han (PFP).
-- BERNAMA