Presiden Gerakan hadapi pertandingan 3 penjuru di Teluk Intan




TELUK INTAN, 28 April (Bernama) -- Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berdepan calon PKR-DAP dan PAS

Bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, ditentang Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan calon PAS Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

Senarai nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Teluk Intan Azizan Abd Muin, pada 11.58 pagi.

Menurut Azizan, Mah merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan iaitu pada 9.05 pagi, diikuti Nga pada 9.10 pagi dan Dr Ahmad pada 9.18 pagi.

Pencalonan Mah, 56, yang tiba di perkarangan Dewan Bandaran Teluk Intan bersama kira-kira 500 penyokongnya pada 8.40 pagi, dicadangkan Tan Sri Kuan Peng Soon dan disokong oleh Ahmad Helmi Yunos.

Sementara itu, Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Berdamar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Kong Sun Chin, Terence Naidu Raja Naidu (PKR-DAP) dan calon PAS, Kumaresan.

Bagi kerusi DUN Changkat Jong, calon BN yang juga penyandang, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, berhadapan calon PKR Muhammad Faizul Mohamed Ismail, serta calon PAS Mohd Azhar Mohd Rafiei, juga dalam pertandingan tiga penjuru.

Ratusan penyokong parti-parti bertanding berkumpul di kawasan berhampiran sejak awal pagi, menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan yang menghala ke pusat penamaan.

Mah menyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selepas merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 ???menewaskan Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti tipis 238 undi.

Kerusi berkenaan sebelumnya disandang wakil DAP Seah Leong Peng, yang meninggal dunia akibat barah.

-- BERNAMA