Reezal Merican hadapi pertandingan tiga penjuru di Kepala Batas
KEPALA BATAS, 28 April (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menghadapi pertandingan tiga penjuru di Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Reezal Merican yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu sejak pilihan raya umum lepas akan ditentang Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Siti Mastura Mohamad dan calon PKR-Amanah Dr Zaidi Zakaria, seorang pakar perunding kanak-kanak.
Proses penamaan calon dibuka pada 9 pagi dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hakmal Effendi Ishak mengumumkan nama calon-calon bertanding itu pada pukul 12.56 tengah hari.
Turut diumum tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu iaitu Penaga yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zain Ahmad dan Mohd Yusni Mat Piah (PAS) apabila pencalonan Yaakop Osman daripada PPBM ditolak.
DUN Bertam pula menyaksikan pertandingan antara Shariful Azhar Othman (BN-UMNO), Moktar Ramly (PAS) dan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (PKR-PPBM) manakala DUN Pinang Tunggal antara Datuk Roslan Saidin (BN-UMNO), Bukhori Ghazali (PAS) dan Datuk Ahmad Zaki Yuddin Abd Rahman (PKR).
Terdahulu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar hadir ke pusat penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian, di sini dengan diiringi lebih kurang 1,500 penyokong BN.
Turut kelihatan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
-- BERNAMA