Saingan tiga penjuru di Parlimen Wangsa Maju
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju Datuk Seri Yeow Teong Look bakal berdepan saingan tiga penjuru daripada calon PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei ini.
Pegawai Pengurus Pilihanraya Sulaiman Mohamed mengesahkan Yew yang juga Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan bakal berdepan dua lagi calon iaitu Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR) dan calon Razali Tumirin (PAS).
Suasana di pusat penamaan calon Wangsa Maju pagi ini sedikit kecoh apabila Tan terlupa membawa kad pengenalan asalnya menyebabkan beliau hampir tidak dapat menyerahkan borang pencalonan.
Masalah itu, bagaimanapun berjaya diselesaikan apabila suaminya membawa kad pengenalan asal Tan ke pusat pencalonan di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati, dekat sini.
Parlimen Wangsa Maju mempunyai 88,482 pengundi berdaftar.
Yeow merupakan calon muka lama dan pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
-- BERNAMA