Tian Chua hilang kelayakan bertanding, empat calon di Parlimen Batu





KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pencalonan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua bagi bertanding kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berikutan satu keputusan mahkamah.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain berkata penolakan itu dibuat berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.

"Di dalam akta itu menyatakan mana-mana pihak sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas, individu ini secara automatik hilang kelayakan bertanding sebagai ahli Parlimen.

"Berdasarkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang SPR, kes terbaru yang dihadapi Tian Chua, di mana dia telah dikenakan denda sebanyak RM 2,000, asalnya RM 3,000 tapi diturunkan kepada RM2,000. Itu menyebabkan Tian Chua tidak layak untuk bertanding berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Batu (P115) pada PRU14.

Katanya Tian Chua yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu boleh membuat petisyen selepas PRU14 nanti.

Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mac tahun lepas kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis dan dikenakan didenda RM3,000.

Pada 2 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua, sebaliknya mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Parlimen Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan dua calon Bebas.

Calon BN, Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dicabar calon PAS Azhar Yahya dan V M Panjamothy Muthusamy dan P Prabakaran Paramesnaran, yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

Bagi PRU14, SPR menetapkan tarikh pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian 9 Mei.

-- BERNAMA