Zambry berdepan calon PAS, PKR-Amanah dalam misi rampas Lumut




LUMUT, 28 April (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang buat julung kali bertanding sebagai calon parlimen akan berdepan PKR-Amanah dan PAS dalam misi merampas semula kerusi Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berdepan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PKR-Amanah) yang berpindah dari kerusi Parlimen Kuala Krai, Kelantan dan Mohammed Zamri Ibrahim (PAS).

Pencalonan mereka disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan berkenaan Mohd Helmi Arifin pada 12.22 tengah hari di pusat penamaan calon di Dewan Mohd Anuar Institut Kemahiran Mara di sini hari ini.

Zambry yang berbaju Melayu berwarna biru tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira 8.30 pagi dengan diiringi isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta kira-kira 5,000 penyokong BNsebelum menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pada 9.01 pagi.

Anak kelahiran Pulau Pangkor berusia 56 tahun itu satu-satunya menteri besar Perak yang bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU setakat ini.

Kerusi Parlimen Lumut disandang PKR menerusi Mohamad Imran Abd Hamid yang menewaskan bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Kong Cho Ha pada PRU13 dengan kelebihan 8,168 undi.

Pada PRU kali ini, Zambry juga akan mempertahankan kerusi DUN Pangkor bagi penggal keempat, ditentang calon PAS Zainal Abidin Saad serta calon PKR-PPBM Nordin Ahmad Ismail.

Pada PRU lalu, beliau menewaskan calon PKR Mohd Saifullah Mohd Zulkifli serta calon Bebas J. Bernard Parenpa dengan majoriti 5,124 undi.

Sementara itu, satu lagi DUN dalam Parlimen Lumut iaitu DUN Pasir Panjang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN-UMNO Datuk Rashidi Ibrahim serta calon PAS Rohawati Abidin dan Yahaya Mat Nor daripada PKR-Amanah.

Parlimen Lumut mempunyai 67,157 pengundi, DUN Pasir Panjang (42,402) manakala Pangkor 24,755 pemilih.

-- BERNAMA