Polis Kedah buka tiga kertas siasatan berkaitan PRU14





ALOR SETAR, 28 April (Bernama) -- Polis Kedah telah membuka tiga kertas siasatan kes berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilaporkan di seluruh negeri itu sejak pembubaran Parlimen 7 April lepas.

Ketua Polisnya Datuk Zainal Abidin Kassim berkata hingga semalam pihaknya menerima 27 laporan polis berkaitan PRU14 di daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Kulim.

"Antara 27 laporan itu melibatkan antaranya kes membakar bendera dan poster, fitnah serta mengganggu ketenteraman awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata proses penamaan calon di semua 15 pusat penamaan calon di Kedah hari ini berjalan lancar, terkawal dan tiada kejadian yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam dengan dikawal oleh 2,527 anggota dan pegawai polis bertugas hari ini.

"Kita telah menahan dua orang awam yang berumur 20-an di Merbok dan Langkawi atas kesalahan menerbangkan dron di kawasan larangan. Kenyataan kedua-duanya telah diambil manakala dron mereka diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk tindakan lanjut," katanya.

Zainal Abidin berkata dalam tempoh berkempen mulai hari ini hingga 8 Mei, seramai 1,309 anggota dan pegawai polis ditugaskan di semua daerah manakala pada hari pengundian pula seramai 5,214 anggota serta pegawai akan bertugas dengan dibantu 203 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am.

"Kita menasihatkan semua penyokong parti politik agar lebih berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menjurus kepada pergaduhan dan provokasi sepanjang kempen pilihan raya ini," katanya.

-- BERNAMA