Calon muka baharu BN hadapi pertandingan tiga penjuru di Bandar Tun Razak




KUALA LUMPUR, April 28 (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN), Adnan Seman, akan menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang calon PAS dan PKR bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Adnan, 42, menyerahkan borang pencalonannya kepada pegawai pengurus pilihan raya (RO) Mohamad Hamim pada 9.02 pagi di sini hari ini.

Calon yang bertanding untuk julung kalinya itu memakai Baju Melayu biru, sama seperti warna bendera BN, diiringi kira-kira 500 penyokong BN, yang melaungkan 'Hidup BTR' (Bandar Tun Razak), ke pusat penamaan calon.

Terdahulu, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Rosni Adam, 48, yang juga bertanding untuk kali pertama, dan veteran politik Datuk Kamarudin Jaffar, 67, yang bertanding atas tiket PKR, menyerahkan borang pencalonan masing-masing pada 9 pagi.

Kedua-dua pencabar calon BN itu juga diiringi penyokong masing-masing yang melaungkan slogan perjuangan dan mengucapkan selawat, ke pusat penamaan calon.



Kawasan parlimen Bandar Tun Razak mempunyai 83,650 pemilih terdiri daripada 29.19 peratus Cina, 61.96 peratus Melayu, 8.18 peratus India dan 0.67 peratus kaum lain.

Pada pilihan raya umum 2013, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru antara BN , PKR dan dua calon Bebas, dengan majoriti 11,832 undi.

Bercakap kepada pemberita, Adnan berkata beliau yakin akan dapat merampas kembali kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk BN.

"Selama sembilan tahun kerusi itu disandang pembangkang, kami mendengar pelbagai sungutan dan perasaan tidak puas hati daripada penduduk tempatan. Saya yakin kami akan dapat memenangi kembali kerusi itu.

"Barisan Nasional telah melaksanakan banyak pembangunan seperti tempat letak kereta bertingkat dan inisiatif lain untuk penduduk Bandar Tun Razak," kata peguam itu.

Adnan berazam untuk membawa lebih banyak perubahan dan pembangunan serta meningkatkan taraf hidup penduduk kawasan itu, terutama golongan Bawah 40 (B40), sekiranya terpilih sebagai Anggota Parlimen.

-- BERNAMA