Muslimin akui tinggalkan UMNO kerana mahu bertanding PRU14




SUNGAI BESAR, 28 April (Bernama) -- Calon PKR bagi kerusi Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahya mengakui tindakannya meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah kerana ditawarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini. Tindakan Muslimin, yang pernah menganggotai UMNO sejak 10 tahun lepas dan bertugas sebagai pegawai khas kepada setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri, mengejutkan banyak pihak apabila menyertai PPBM pada Selasa lepas.

"Semua orang tahu, sebelum ni nama saya sering disebut-sebut sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen itu. Saya lari (lompat parti) bukan sebab kecewa, tapi kerana ada yang beri saya peluang (bertanding)," kata bekas guru itu kepada pemberita hari ini.

Muslimin yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon ditemui selepas proses penamaan calon bagi kerusi itu di Dewan Seri Bernam, di sini.

Beliau akan mencabar penyandang kerusi itu, Budiman Mohd Zohdi daripada BN-UMNO dan calon PAS diwakili Mohamed Salleh M Husin dalam pertandingan tiga penjuru di kubu kuat parti pemerintah itu.

-- BERNAMA