Jentera BN diingat tidak ambil mudah peranan masing-masing - Hishammuddin




KLUANG, 28 April (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan seluruh jentera BN supaya tidak mengambil mudah peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hishammuddin berkata inilah masanya jentera BN yang turut merangkumi Wanita, Pemuda dan Puteri, membuktikan peranan mereka seperti ditekankan kepemimpinan BN beberapa tahun ini.

"Wanita JR Plus, Pemuda Briged Gempur manakala Puteri Briged IT. Inilah masanya untuk mereka bukti apa yang kita tekankan kebelakangan ini.

"Hari penamat sudah sampai. Pastikan tanggungjawab masing-masing ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penamaan calon Parlimen Sembrong di sini hari ini.

Kepada parti dan calon yang berkempen, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu mengingatkan mereka supaya tidak melakukan perbuatan melampaui batas hingga boleh mencemarkan nama negara.



"Jangan kita marah nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kita ghairah berpolitik sehingga apa yang kita bina selama ini jadi gadaian.

"Jangan kita hendak popular sangat, di mana kita buat janji yang tidak boleh ditunaikan. Jangan kerana marah berkempen, kita sanggup melakukan sesuatu yang mencemar imej negara kita," katanya.

Mengenai pemimpin yang tidak tercalon pada PRU14, beliau mengingatkan mereka supaya memikirkan bahawa perjuangan adalah parti lebih besar daripada individu.

Katanya tidak tanduk mereka dalam beberapa hari ini akan menentukan masa depan mereka dalam parti.

"Sekiranya mereka rasional, saya faham, satu dua hari ini mungkin kecewa, marah, putus asa tetapi balik semula lah ke pangkuan asal.



"Perjuangan kita ini bersandar kepada parti. Kalau parti tidak kuat, pegang jawatan apa pun dalam parti, kita tidak mempunyai makna," katanya.

Hishammuddin yang akan ditentang Penyelaras PKR Parlimen Sembrong, Onn Abu Bakar bersyukur kerana proses penamaan berjalan lancar, selain kagum ke atas semangat jentera penyokongnya pagi tadi.

Beliau yakin pengundi Parlimen Sembrong yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dan DUN Kahang, bijak menilai sikap pembangkang yang datang menabur fitnah di kawasan tersebut berbanding melakukan perancangan untuk kebaikan pengundi.

-- BERNAMA