Bekas guru dan pelajar bersaing rebut DUN Ayer Hangat
LANGKAWI, 28 April (Bernama) -- Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat di sini menjadi medan tempur bagi bekas guru dan anak didiknya.
Calon PKR-PPBM Juhari Bulat, yang telah bersara daripada profesion peguruan, berdepan dengan bekas pelajarnya yang juga penyandang kerusi itu Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid yang mewakili Barisan Nasional-UMNO.
"Politik adalah darah daging kami," kata Juhari, 60, apabila ditanya tentang perasaannya selepas diumumkan bertanding menentang Mohd Rawi dalam pilihan raya kali ini.
Kedua-duanya saling berpelukan selepas berakhirnya proses penamaan calon itu.
Sementara itu, Mohd Rawi berkata beliau menghormati Juhari yang pernah menyandang jawatan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Langkawi sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM.
"Bukan sahaja guru di sekolah, dia juga guru politik saya," katanya.
Saingan bagi kerusi DUN itu bagaimanapun bukanlah pertandingan satu lawan satu di antara Juhari dan Mohd Rawi kerana PAS turut meletakkan calon mereka Azlina Azinan bertanding di kawasan berkenaan.
Ayer Hangat merupakan satu daripada dua kawasan DUN di bawah Parlimen Langkawi dan mempunyai seramai 21,297 orang pengundi.
-- BERNAMA