Calon Bebas DUN Permas mahu perjuangkan suara anak muda, wanita
JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) -- Berhasrat memperjuangkan suara anak muda dan wanita dalam pelbagai bidang mendorong seorang usahawan di sini, untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Rohani Yaacob, 32, berkata beliau amat berminat menjadi wakil kepada golongan berkenaan kerana mahu menyuarakan kehendak dan keperluan mereka kepada peringkat atasan secara berkesan, namun enggan bertanding atas platform mana-mana parti politik.
Alasannya: "Jika masuk dalam parti, itu bermaksud kita mewakilkan suara kepada calon yang ada dan ia bukanlah pendekatan sangat berkesan," katanya.
Rohani percaya setiap calon juga memiliki kekuatannya sendiri untuk meraih undi, justeru beliau akan mengetengahkan beberapa isu untuk menarik perhatian masyarakat.
"Contohnya di sini (Pasir Gudang)...kawasan perindustrian banyak tetapi kita terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan.
"Ini antara dilema penduduk setempat perlu saya perjuangkan," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Permas di sini, hari ini.
Rohani yang menggunakan simbol kunci bakal berdepan pertandingan empat penjuru menentang calon PAS, Ab Aziz Abdullah, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (BN-UMNO) dan Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (PKR-PPBM) di kerusi DUN Permas.
Pada PRU13 lepas, kerusi itu dimenangi Mohamed Khaled dengan majoriti 5,752 undi, menewaskan calon PAS Syed Othman Abdullah.
-- BERNAMA