'Veteran UMNO' berkerusi roda beri sokongan kepada calon BN




JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) -- Ketidakupayaan untuk bergerak tidak mematahkan semangat seorang warga emas untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) ketika penamaan calon bagi Parlimen Pulai hari ini.

Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Munsyi Ibrahim, Habibah Rahman,73, yang menggunakan kerusi roda berikutan sakit saraf yang dialaminya sejak setahun lalu, tidak mahu menjadikan alasan 'hilang upaya' semata-mata ingin turut serta memberi sokongan kepada parti gabungan itu.

"Saraf saya mula sakit apabila kembali ke Malaysia setelah berkunjung di Dublin untuk menemani anak saya yang membuat penyelidikan di sana pada tahun lepas.

"Cuaca di luar negara sejuk dan bila saya kembali ke sini berdepan cuaca panas, saraf saya jadi sakit dan menyebabkan kaki lemah untuk berjalan," kata bekas guru itu ketika ditemui mengiringi calon-calon BN di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan di sini.

Habibah, yang masih menjalankan sesi fisioterapi berkata, setiap kali penamaan calon pilihan raya, dirinya tidak akan melepaskan peluang untuk turun padang memberikan sokongan kepada BN.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi sokongan kepada parti yang banyak berjasa kepada negara, sokongan saya ini hanyalah sedikit tetapi amat bermakna bagi diri saya," katanya lagi.

Pilihan Raya Umum ke-14 bagi Parlimen Pulai akan menyaksikan pertembungan empat penjuru bagi penyandang kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-UMNO), Salahuddin Ayub (PKR-Amanah), Dr Mohd Mazri Yahya (PAS) serta calon bebas Yap Keng Tak.

Sementara itu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pula akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong You Fong (BN-MCA), Cheo Yee How (PKR-DAP) dan Muhamad Nazrin Ihsan (PAS).

Kerusi DUN Kempas juga akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru Datuk Ramlee Bohani (BN-UMNO), Datuk Osman Sapian (PKR-PPBM) dan Dzulkifli Suleiman (PAS).

Senarai nama calon yang bertanding diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pulai Sidek Paiman pada 11.15 pagi di hadapan 2,000 penyokong daripada parti-parti bertanding.

-- BERNAMA