V. Gunalan tidak gentar saingan Mohamad Sabu di Kota Raja




SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja, V. Gunalan menegaskan beliau bukan calon 'underdog' dan tidak gentar bersaing dengan calon ?heavyweight' seperti Mohamad Sabu yang bertanding mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Ketua MIC Bahagian Sepang berusia 45 tahun itu yang berasal dari Dengkil berkata beliau yakin mendapat sekurang-kurangnya 60 ke 65 peratus sokongan masyarakat India di Parlimen Kota Raja.

"Saya anak watan Selangor dan memang berniat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan untuk kerusi Parlimen Kota Raja di Dewan MBSA Kemuning Utama di sini hari ini.

Gunalan akan berhadapan pertandingan tiga penjuru di Parlimen Kota Raja bersama Mohamad Sabu, 64, yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden PAS dan kini Presiden Amanah serta Mohamed Diah Baharun daripada PAS dalam PRU14 kali ini.

Katanya terdapat lebih 149,000 pengundi di Parlimen Kota Raja dengan 27 peratus daripadanya terdiri daripada masyarakat India.

-- BERNAMA