Pertandingan tiga penjuru beri kelebihan pada BN - Shaziman




TAMPIN, 28 April (Bernama) -- Pertandingan tiga penjuru di Parlimen Tampin dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Gemencheh, Gemas dan Repah, dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Umno Bahagian Tampin Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau yang merupakan calon BN untuk kerusi Parlimen Tampin berkata pertandingan tiga penjuru juga membuktikan suburnya demokrasi dalam negara.

"Seperti di DUN Repah, saya percaya dan yakin masyarakat Cina di sana tidak akan bagi undi kepada PAS kerana PAS sudah tidak lagi bersama kumpulan yang sama, dan di sana juga majoriti kaum Melayu adalah anggota Umno," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRU14 di sini, hari ini.

Beliau berkata sokongan Melayu kepada BN yang dikatakan semakin merosot hanyalah momokan dilemparkan pihak yang gentar terhadap BN.

"Realitinya masyarakat masih bersama BN," katanya.

Shaziman, akan dicabar oleh Dr Hasan Bahrom (PKR-Amanah) dan Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar (PAS) di kerusi Parlimen Tampin.

Sementara itu, calon PKR di kerusi DUN Gemencheh, Saiful Adly Abdul Wahab, 40, berkata, walaupun baru kali pertama bertanding, beliau yakin akan memberi saingan sengit kepada calon BN, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan calon PAS, Ishak Maasin.

Calon PKR lain yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini ialah Baharuddin Arif Siri (DUN Gemas) dan S. Veerapan (DUN Repah).

Calon BN bagi DUN Repah, Koh Kom Swee, 47, yang juga muka baharu untuk PRU14, bertekad merampas semula kerusi itu daripada penyandang, S.Veerapan yang menang atas tiket DAP pada PRU13.

"Saya lihat penerimaan masyarakat Cina dah okey terhadap BN, lagipun saya merupakan anak jati Repah dan saya kenal penduduk di sini," katanya.

Wakil BN lain yang bertanding dalam PRU14 ialah Datuk Abdul Razak Ab Said bagi kerusi DUN Gemas.

Calon PAS, Abdul Halim juga akan bertanding di kerusi DUN Gemas selain menentang Shaziman di Tampin serta Abdul Razakek Abdul Rahim bagi DUN Repah.

Sementara itu di JEMPOL, kerusi DUN Jeram Padang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon dari BN, PKR, PAS dan Bebas.

Calon BN, Datuk L. Manickam berkata, walaupun saingan sengit tetapi beliau akan memastikan kerusi itu terus menjadi milik BN supaya dapat meneruskan agenda pembangunan.

"Isu perkauman tidak timbul di DUN ini dan saya yakin akan mendapat undi daripada semua kaum yang mahu melihat lebih banyak pembangunan di kawasan mereka melalui BN," katanya.

Calon PAS, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata beliau akan bekerja keras untuk memenangi PRU ini memandangkan ia adalah kali pertama beliau bertanding manakala calon Bebas, Datuk Seri S. Surash pula berkata beliau ialah calon mewakili suara rakyat Jeram Padang dengan menggunakan logo pokok.

Surash merupakan bekas Ketua MIC Cawangan Taman Awana Indah yang telah meletakkan jawatan pada 26 April lepas kerana ingin bertanding atas tiket bebas.

Wakil BN, PAS dan Bebas itu turut akan ditentang oleh S Musliadi Sabtu (PKR).

-- BERNAMA