Saingan sengit di Kedah dengan penguasaan pertembungan tiga penjuru





ALOR SETAR, 28 April (Bernama) -- Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kedah menyaksikan saingan sengit di kesemua 15 kerusi dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tamatnya proses penamaan calon hari ini.

Hampir kesemua kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini menampilkan pertandingan tiga penjuru yang didominasi antara Barisan Nasional (BN), PAS dan Pakatan Harapan.

Bagi kerusi Parlimen, hanya Parlimen Pendang dan Sungai Petani memperlihatkan pertarungan empat penjuru.

Di Parlimen Pendang penyandangnya Datuk Othman Abdul daripada BN-UMNO dicabar oleh Awang Hashim (PAS), Wan Saifulruddin Wan Jan (PKR-PPBM) dan calon Bebas, Abdul Malik Manaf manakala di Parlimen Sungai Petani, calon muka baharu BN, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff akan menentang pencabarnya Datuk Johari Abdul (PKR-Keadilan).

Dua lagi pencabar di Parlimen itu adalah calon PAS, Sharir Long dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), P. Sritharen.

Kerusi tumpuan di Parlimen Langkawi, penyandangnya Datuk Nawawi Ahmad akan ditentang Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili PKR-PPBM dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Selain itu, kerusi-kerusi yang disandang beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet iaitu di Parlimen Padang Terap, Jerai, Kubang Pasu dan Jerlun turut menyaksikan penguasaan pertarungan tiga penjuru.

Di Padang Terap, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dicabar calon PAS, Mohamad Azam Abd Majid @ Abd Aziz dan Mohd Khairizal Khazali daripada PKR-Amanah manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan ditentang Sabri Azit (PAS) dan calon PKR-PPBM Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi di Jerai.

Dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz ditentang sengit Naib Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (PKR-PPBM) dan calon PAS Abd Ghani Ahmad di Jerlun.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum dicabar calon PKR-PPBM Datuk Amiruddin Hamzah dan calon wanita PAS, Norhafiza Fadzi di Kubang Pasu.



Sementara itu sebanyak 29 DUN turut mencatatkan pertandingan tiga penjuru iaitu di Ayer Hangat, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Pinang, Derga, Suka Menanti, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Tokai, Sungai Tiang, Sungai Limau, Guar Chempedak dan Belantek, Bukit Selambau, Tanjung Dawai, Pantai Merdeka, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Lunas dan Bandar Baharu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sekali lagi bertanding bagi penggal keenam di kerusi Suka Menanti (nama lama Bakar Bata) yang akan ditentang calon PAS, Mohd Sabri Omar dan Zamri Yusuf daripada PKR-Keadilan.

Pertandingan empat penjuru pula membabitkan enam DUN iaitu Kuah, Bukit Lada, Kota Darul Aman, Gurun, Sidam dan Kulim yang memperlihatkan penyertaan tiga calon Bebas di Kuah, Bukit Lada dan Gurun serta tiga calon PRM di Kota Darul Aman, Sidam dan Kulim.

Satu-satunya DUN paling banyak penyertaan calon adalah di Bakar Arang dalam Parlimen Sungai Petani iaitu seramai lima calon melibatkan calon BN Ko Hung Weng menentang penyandangnya daripada PKR-Keadilan Ooi Tze Min, calon PAS Othman Che Mee, Tan Kee Chai (PRM) dan calon Bebas Tan Hock Huat.

Pada PRU13, BN memenangi 10 kerusi daripada 15 Parlimen, PKR (empat) dan PAS (satu, kini PAS tiada kerusi selepas penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyertai Amanah).

Bagi kerusi DUN pula, BN menguasai 21 kerusi (kini tinggal 20 kerusi selepas Mukhriz menyertai PPBM), PAS (sembilan), PKR (empat) dan DAP (dua).

-- BERNAMA