Undi BN, jangan buang masa sokong pembangkang - Ali Rustam




MELAKA, 28 April (Bernama) -- "Seorang isteri tidak dijaga, ini nak kahwin dua," merupakan sindiran bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam mengulas tindakan Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Beliau berkata apa yang penting sekarang Shamsul Iskandar sepanjang sepenggal mentadbir Hang Tuah Jaya sebelum ini tidak dapat memberikan perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

Justeru, Mohd Ali berkata rakyat seharusnya tidak membuang masa memberikan sokongan kepada pembangkang yang hanya tahu bermain politik dan berikan undi mereka kepada Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti menjaga rakyat sebelum ini.

"Hang Tuah Jaya, bini yang satu ini pun (Shamsul Iskandar) tak terjaga (sebelum ini) inikan pula nak beristeri dua susah lah, seorang isteri tidak dijaga ini nak kahwin dua. Saya percaya beliau tidak akan beri khidmat baik kepada pengundi-pengundi di dua kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Terdahulu Mohd Ali daripada BN dan Shamsul Iskandar bakal mengulangi pertarungan mereka pada PRU13 apabila diumum sebagai calon parti masing-masing, dan calon PAS Dr Md Khalid Kassim melengkapkan saingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

Media sebelum ini melaporkan pelbagai rungutan pengundi di kawasan itu bahawa Shamsul Iskandar tidak membantu rakyat di kawasan tersebut, sebaliknya Mohd Ali lebih kerap turun padang menyelesaikan masalah dan memberi bantuan kepada rakyat.

Shamsul Iskandar bakal berdepan saingan tiga penjuru di DUN Rim dalam Parlimen Jasin dengan Kintan Man (PAS) dan Datuk Ghazale Muhamad (BN).

Pada PRU13, Mohd Ali tewas di kawasan Parlimen Bukit Katil (kini Hang Tuah Jaya) dalam pertarungan satu lawan satu dengan Shamsul Iskandar.

Calon BN bagi Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata beliau tidak gentar dengan siapapun calon dalam misi mempertahankan kerusi itu kerana pengundi sudah sedia tahu tahap perkhidmatan beliau kepada rakyat sepanjang dua penggal di kawasan tersebut.

"Kita sudah bersedia untuk apa sahaja keadaan, kita serah kepada rakyat untuk menilai siapa calon terbaik bagi membela nasib mereka," katanya.

Parlimen Jasin bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Ahmad yang dicabar calon PKR-Amanah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang juga suami kepada pelakon Umie Aida dan calon PAS Abd Alim Shapie.

-- BERNAMA