Calon BN Kuala Langat mahu jadi pemudah cara rakyat




KUALA LANGAT, 28 April (Bernama) -- Calon muda Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan mahu menjadi pemudah cara antara pengundi di kawasan berkenaan dengan agensi-agensi kerajaan sekiranya terpilih.

Siswazah University of Manchester berusia 31 tahun itu juga berazam mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah ini sebagai sebahagian daripada manifesto peribadinya terhadap penduduk tempatan.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia itu juga mahu menaik taraf Stadium Jugra menjadi kompleks sukan yang lengkap untuk kegunaan masyarakat.

"Janji pertama saya, menjadi pengantara dan pemudah cara bermaksud, sekiranya saya dipilih sebagai anggota parlimen disini, saya akan menubuhkan satu sekretariat yang berfungsi untuk memadankan apa agensi yang sesuai untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi rakyat."

"Jika ada individu yang mahu bantuan kewangan jika berlaku kecemasan seperti sakit, anak hendak melanjutkan pelajaran, sekretariat ini akan mencari apa agensi yang sesuai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anak muda yang petah berdebat itu beranggapan tugas anggota parlimen yang sebenar adalah mendekatkan masyarakat kawasan yang diwakili dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Anggota parlimen katanya, bukan sahaja berdebat mengenai dasar, meluluskan undang-undang, tetapi tugas utamanya adalah membantu rakyat.

"Kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang boleh membantu rakyat daripada seorang peniaga sehinggalah ke orang tua, tetapi tidak ramai tahu kerana wakil rakyatnya sibuk melakukan perkara lain," katanya.

Duta Tranformasi Nasional 2050 (TN50) itu juga berazam mahu menjadikan Kuala Langat salah satu lokasi pelancongan tumpuan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

"Sini (Kuala Langat) ada pelbagai lokasi menarik, Bukit Jugra yang indah dan kegiatan para gliding (luncur layar) yang ada di sana (jika) dipromosikan dengan meluas akan menarik lebih ramai orang luar ke sini, Pantai Morib dan Pantai Klanang."

Kampung Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Tokong FGS Dong Zeng di Jenjarum antara tarikan pelancongan yang menarik di sini yang memperlihatkan keutuhan perpaduan kepelbagaian kaum di sini," katanya.

Pengerusi Biro Profesional Muda Pemuda UMNO itu berkata, dengan kehadiran lebih banyak pengunjung ke sana, pendapatan masyarakat setempat turut akan dapat ditingkatkan melalui kegiatan ekonomi berkaitan antaranya seperti inap desa, kedai makan, dan produk-produk kraftangan.

Shahril Sufian akan ditentang calon PAS Datuk Dr Yahya Baba yang merupakan bekas Pengarah Institut Kesihatan Umum dan calon PKR, Dr Xavier Jayakumar yang juga bekas exco kerajaan negeri Selangor.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Langat Mohd Jusni Hashim mengesahkan pencalonan ketiga-tiga mereka pada kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Pada PRU lepas, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid daripada PKR mempertahankan kerusi tersebut dengan mengalahkan Kapten (B) Sharuddin Omar (BN-UMNO) dan calon Bebas, S. Kottappan dengan majoriti 5,358 undi.

-- BERNAMA