PRU14: Polis Selangor tahan tiga lelaki, rampas tiga dron





SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Polis Selangor menahan tiga lelaki termasuk seorang penternak kambing serta merampas tiga dron yang diterbangkan sekitar kawasan pusat penamaan calon bagi Parlimen Shah Alam dan Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 41 tahun ditahan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Shah Alam di Dewan Besar Tanjong MBSA, Seksyen 19, di sini.

"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun itu bekerja sebagai penternak kambing manakala seorang lagi bekerja di sebuah syarikat milik kerajaan," katanya dalam sidang media sempena penamaan calon PRU14 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Mazlan berkata polis turut menahan seorang lagi lelaki di Pusat Penamaan Calon Parlimen Bangi di Dewan Demense, Bandar Baharu Bangi, Kajang atas kesalahan penggunaan dron tanpa kebenaran.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 143 (1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan semua parti dan penyokong agar menjaga dan memelihara ketenteraman sepanjang kempen PRU14 supaya sebarang kejadian tidak diingini dapat dielakkan.

Katanya semua parti dan penyokong perlu mematuhi larangan penerbangan dron di kawasan tertentu, kecuali dengan kebenaran Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

-- BERNAMA