PRU14: Dua ditahan guna drone di pusat penamaan calon




Gambar hiasan

KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki berhampiran pusat penamaan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu di sini hari ini, selepas dikatakan menggunakan drone untuk mengambil gambar dan video di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata lelaki berusia lingkungan 20an itu ditahan pada jam 9 pagi.



"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku menggunakan drone dengan tujuan untuk 'suka-suka' sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.



Hasanuddin berkata siasatan lanjut akan dijalankan. Penggunaan peralatan itu dilarang di kawasan berlangsungnya proses penamaan calon PRU14.

Sementara itu, Hasanuddin berkata sepanjang proses penamaan calon hari ini tidak ada sebarang insiden atau kekecohan yang berlaku di kesemua 14 pusat penamaan calon di negeri ini.

"Keadaan trafik juga berjalan lancar kerana kita sudah membuat laluan alternatif kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kesesakan," katanya.

-- BERNAMA