Proses pencalonan di Bera lancar bukti pengundi bersikap matang




Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Gambar fail Bernama)

BERA, 28 April (Bernama) -- Proses penamaan calon hari ini yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden provokasi di Parlimen Bera menunjukkan kematangan pengundi semua parti di kawasan ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun berbeza fahaman politik namun pengundi di Bera mampu mengawal emosi dan mereka tetap bersahabat.

"Di Bera ini semua penyokong BN dan pembangkang kenal satu sama lain. Mereka boleh duduk semeja dan bersembang di kedai kopi bersama," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.

Ismail Sabri turut menyatakan rasa bangganya terhadap penyokong BN yang tidak berganjak menunggu lebih tiga jam di luar pusat pencalonan sehingga semua proses penamaan calon selesai.

Katanya proses pencalonan berjalan lancar namun terpaksa memakan masa kerana terdapat masalah teknikal di peringkat saringan Jabatan Insolvensi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO mempertahankan Parlimen Bera setelah menewaskan Zakaria Abdul Hamid (PKR) dan Wali Alang Ahamad (Bebas) dengan majoriti 2,143 undi.

Pada PRU14 kali ini, beliau akan ditentang Musaniff Ab Rahman daripada PAS dan calon PKR Zakaria Abdul Hamid.

Sementara itu, kehadiran calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman mencuri tumpuan ramai apabila beliau diiringi pencadang yang berbangsa Cina iaitu Soh Cheen Sin dan penyokong yang berbangsa India, K. Gunaletchumy.

Norol Azali berkata tradisi tersebut telah diamalkan beliau sejak PRU13 yang lepas bagi menunjukkan semangat perjuangan BN antara semua parti komponen.

"Selain itu matlamat kita hendak menang dan terus membentuk negara bersatu padu dan ia bermula pada proses penamaan calon ini," katanya.

Pada PRU13 Norol Azali turut diiringi Soh dan Gunaletchumy, masing-masing sebagai pencadang dan penyokongnya.

-- BERNAMA