Ahmad Said sedia bantu Mohamed Awang Tera rampas DUN Chukai
CHUKAI, 28 April (Bernama) -- Ketua Bahagian UMNO Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said berjanji akan terus memberi sokongan kepada setiap calon yang bertanding dalam bahagian itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) bagi memastikan kemenangan besar BN di Kemaman.
Ini termasuk membantu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera merampas semula kerusi itu yang jatuh ke tangan PAS pada PRU 13.
Katanya, beliau sendiri akan turun padang bersama Mohamed untuk berjumpa dengan pengundi di DUN berkenaan sepanjang tempoh kempen sekali gus mengetepikan tanggapan pengundi di situ bahawa berlakunya perselisihan faham antara mereka berdua sebelum ini.
"Sebelum ini kami memang mempunyai masalah tetapi setelah kami duduk berbincang dan mencapai kata sepakat yang kami akan bersama-sama mengembalikan kemenangan DUN Chukai .
"Saya akan bantu Mohamed Awang menebus maruah UMNO yang telah tercalar sebelum ini dan selepas ini saya sendiri akan bawa Mohamed Awang berjumpa dengan pengundi termasuk masyarakat Tionghua," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Kemaman di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamed meluahkan rasa gembira apabila diberitahu bahawa Ahmad akan bersama-sama membantu beliau dalam memperjuangkan kemenangan DUN Chukai pada PRU 14 kelak.
Mengulas mengenai isu percalonan sebelum ini beliau berkata walaupun sebelum ini mereka mempunyai masalah dalaman tetapi isu tersebut telah diselesaikan.
"Kadang kala berlaku perselisihan pendapat dan pandangan tetapi bila kita sampai pada satu ketika begini kita akan berbaik dan bersatu kembali, ibarat carik-carik bulu ayam akhirnya bersatu kembali.
Kita perlu saling membantu untuk mendapatkan kemenangan BN bagi Parlimen Kemaman dan keempat-empat DUN yang lain," katanya.
-- BERNAMA