Calon PAS yakin 'tumbangkan' Azmin Ali di Bukit Antarabangsa





KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Calon muka baharu PAS Sharifah Haslizah Syed Ariffin yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa daripada orang kuat PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdasarkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan sokongan diterima partinya pada pilihan raya umum lepas.

Menerusi persempadanan semula itu, beberapa kawasan kubu kuat PAS seperti Cempaka dan Hulu Kelang berada dalam kawasan Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, kata Ketua Penerangan PAS Ampang berusia 41 tahun itu.

Beliau berkata PKR memenangi kerusi itu pada 2013 disebabkan sokongan PAS. Kedua-dua parti itu kini membawa haluan masing-masing.

"Jangan lupa bahawa sebelum ini kemenangan PKR adalah daripada usaha kerja bersama daripada akar umbi PAS. Sebelum ini pun kita lihat, kita (PAS) antara pengerak-pengerak tenaga yang memenangkan, pasal dulu kita bergabung dengan PKR," beliau memberitahu Bernama selepas mengemukakan pencalonan di Dewan Dato Ahmad Razali di sini, hari ini.

Selepas menyaksikan pertarungan satu lawan satu pada tiga pilihan raya umum lepas, Bukit Antarabangsa pada kali ini dimeriahkan dengan tiga lagi calon termasuk selebriti sensasi yang juga adik Azmin iaitu Azwan yang bertanding sebagai calon Bebas serta Salwa Yunus (BN) dan Ahmad Kamarudin (PRM).

Azmin ialah penyandang kerusi itu selama dua penggal, menang dengan majoriti 4,044 undi pada 2013.

-- BERNAMA