Zulhasnan berdepan calon PAS, PKR di Parlimen Setiawangsa
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique menghadapi tentangan dua pencabar, masing-masing daripada PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Zulhasnan, 63, yang dicalonkan semula oleh BN berhadapan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, 36, yang berpindah dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Selangor yang dipegangnya selama dua penggal lepas, serta Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ubaid Abd Akia, 31.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sori Husain mengumumkan pertembungan tiga penjuru kerusi Parlimen itu yang mempunyai 72,136 pengundi semasa proses penamaan calon di Stadium Titiwangsa di sini.
Ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai, Zulhasnan berkata BN Setiawangsa menggariskan empat teras utama dalam manifesto yang akan dilancarkan pada 30 April di Taman Tasik Titiwangsa.
Bekas menteri kabinet dan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu berkata keselamatan, kesihatan, prasarana serta pembangunan sosial adalah agenda yang ditawarkan kepada penduduk Setiawangsa.
"Sejak saya memimpin kawasan Wangsa Maju pada 1999 dan kemudiannya dipecahkan kepada Parlimen Setiwangsa, BN sentiasa melihat kepada pembangunan infrastruktur sehinggalah Setiawangsa menjadi seperti sekarang, sebuah kawasan pembangunan rancak," katanya, yang memenangi kerusi itu pada PRU11 dan PRU12.
Zulhasnan, yang tidak dicalonkan pada PRU13, berikrar akan bekerja keras untuk menambah majoriti kemenangan undi yang diraih BN di kawasan tersebut.
Menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Naib Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Zulhasnan berkata BN memerlukan khidmat Fauzi yang mempunyai pengalaman di situ.
"Beliau mempunyai peranan. Kita mahu beliau memainkan peranannya kerana BN memerlukan ?pengalaman beliau selama lima tahun lepas mengenai pengetahuan dan strategi, sekali gus kita boleh mempertingkatkan prestasi kita serta dalam pilihan raya ini," katanya.
Pada PRU13, Ahmad Fauzi Zahari mengalahkan Ibrahim Yaacob daripada PKR dengan majoriti 1,390 undi.
Sementara itu, Nik Nazmi pula berkata beliau tidak melihat PAS sebagai pesaing yang kuat kerana rakyat akan memilih parti yang mampu membentuk kerajaan.
"Saya berpendapat rakyat akan mempertimbangkan dua parti besar ini (BN dan PKR), kerana yakin mereka akan memilih sebuah parti yang boleh membentuk kerajaan. Saya yakin kali ini semua pengundi meletakkan kepercayaan kepada kami dan saya bersedia memberi yang terbaik kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA