Dua anak Nik Aziz bertanding atas parti berbeza

KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Dua anak bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi memilih parti berbeza.
Pada proses penamaan calon hari ini, anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan itu, Nik Omar mengesahkan bertanding atas tiket PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kubu kuat PAS yang pernah diwakili oleh bapanya.
Sementara itu, anak kelima Nik Abdul Aziz, Nik Mohamad Abduh mewakili PAS bertanding di kerusi Parlimen Bachok, berpindah dari kerusi Parlimen Pasir Mas.
Nik Omar terlibat dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Chempaka, ditentang Mohamed Fareez Noor Amran yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon PAS Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad, yang menggantikan Nik Abdul Aziz di kerusi DUN tersebut.
Nik Omar sebelum ini dikhabarkan akan menyertai Amanah, yang telah memutuskan untuk menggunakan logo PKR pada PRU14, namun tidak dibenarkan oleh ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak yang mahu beliau kekal bersama PAS.
DUN Chempaka merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Pengkalan Chepa. Di DUN Kijang, Wan Shahrul Azuan Wan Ab Aziz (BN) akan bertemu Nik Azmi Nik Man @ Nik Osman (PKR) dan Dr Izani Husin (PAS).
Di DUN Panchor, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan mempertahankan kerusinya dan dicabar oleh Zarian Md Eusope (BN) dan Mohd Zulhazmi Hassan (PKR-Amanah).
Bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa pula, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa Datuk Zaluzi Sulaiman (BN) akan memberikan cabaran kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS), yang berpindah dari kerusi Parlimen Bachok dan Mohamad Ibrahim (PKR).
Bagi kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh berdepan Ketua UMNO Bahagian Bachok yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adik Hussin dan Mohd Zulkifli Zakaria (PKR-PPBM)
Kerusi itu dimenangi Ahmad Marzuk yang mendapat majoriti 201 undi selepas menewaskan Awang Adek pada pilihan raya umum yang lepas.
Di kerusi DUN Tawang berlaku pertandingan satu lawan satu membabitkan Datuk Hassan Mohamood (PAS) dan Mohd Radzuan Abdullah (BN). Di kerusi DUN Pantai Irama (dahulu dikenali sebagai Perupok), pertandingan tiga penjuru antara Datuk Dr Ilias Husain (BN), Mohd Huzaimy Che Husin (PAS) dan Ismail Ghani (PKR).
Kerusi DUN Jelawat turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Radzuan Hamat (BN), Abdul Azziz Kadir (PAS) dan Mohd Fami Zakaria (PKR-PPBM).
-- BERNAMA