Sokongan padu rakyat mampu pastikan kemenangan BN pada PRU14
Datuk Seri Hamzah Zainudin (Gambar fail Bernama)
LARUT, 28 April (Bernama) -- Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang semakin padu diyakini akan memastikan parti itu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata calon Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata sokongan yang begitu hebat itu membuktikan BN sentiasa bercakap benar dalam apa juga perkara selain teguh bercakap bagi kepentingan rakyat.
"Sudah nampak mereka (pembangkang) berpecah, begitu juga dengan calon pembangkang berbanding dengan penyokong kita yang bersatu akan membolehkan kita mencapai kemenangan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon bertanding di P056 Parlimen Larut di sini, hari ini.
Hamzah yang dalam misi mempertahankan kerusi Larut pada PRU14 9 Mei ini atas tiket BN-UMNO akan dicabar calon PAS, Abu Husin Mohamad dan calon PKR Datuk Khairil Anuar Akhiruddin.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama turut menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Mohd Akmal Kamaruddin (PAS), Razali Ismail (PKR) dan Datuk Faizul Arby Mohd Sohor (BN-UMNO).
DUN Kubu Gajah pula ditandingi tiga calon iaitu Khalil Yahaya (PAS), Mat Supri Musa (PKR) dan Saliza Ahmad (BN-UMNO).
Dalam pada itu, DUN Batu Kurau pula bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohd Shahir Mohd Hassan (PAS), Zainal Abidin Abd Rahman (Berjasa), Mohd Aiman Izuddin Md Husin (PKR) Datuk Dr Mohamad Amin Zakaria (BN-UMNO).
Zainal Abidin ketika ditemui berkata beliau membuat keputusan bertanding di DUN Batu Kurau kerana sudah tidak lagi bergabung dengan PAS selepas tidak diberikan peluang bertanding di kawasan majoriti Melayu.
"Kami terpaksa membawa haluan masing-masing untuk bertanding pada PRU14 ini," katanya.
-- BERNAMA