Majoriti Parlimen Wilayah Persekutuan saksikan pertandingan tiga penjuru
Oleh Noor Adila Ali
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan-kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hari ini berjalan lancar, dengan kebanyakan kawasan memperlihatkan pertarungan tiga penjuru.
Parti-parti yang bertanding membariskan calon wajah baharu, golongan muda, selain mengetengahkan semula calon berpengalaman.
Di KUALA LUMPUR, daripada 11 kawasan parlimennya, tiga melibatkan pertembungan satu lawan satu, tujuh pertandingan tiga penjuru dan satu pertandingan empat penjuru.
Pertembungan satu lawan satu melibatkan Parlimen Cheras antara Heng Sinn Yee (BN-MCA) dan Tan Kok Wai (PKR-DAP), di Kepong antara Lim Lip Eng (PKR-DAP) dan Ong Siang Liang (BN-GERAKAN) dan di Seputeh antara Chan Quin Er (BN-MCA) dan Teresa Kok Suh Sim (PKR-DAP).
Pertandingan tiga penjuru pula di Wangsa Maju membabitkan Datuk Seri Yew Teong Look (BN-MCA), Razali Tumirin (PAS) dan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR), di Segambut membabitkan Datuk Dr Loga Bala Mohan (BN-MYPPP), Yeoh Tseow Suan (PKR-DAP) dan Mohd Solleh Ab Razak (PAS).
Setiawangsa menyaksikan pertembungan antara Tan Sri Zulhasnan Rafique (BN-UMNO), Ubaid Abd Akla (PAS) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) manakala di Titiwangsa, persaingan melibatkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-UMNO), Rina Mohd Harun (PKR-PPBM) dan Mohamad Noor Mohamad (PAS).
Tiga lagi kawasan ialah Bukit Bintang antara Tan Ean Ean (BN-MCA), Fong Kui Lun (PKR-DAP) dan Khairul Husni Othman (PFP), di Lembah Pantai membabitkan Fauzi Abu Bakar (PAS), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (BN-UMNO) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR) serta di Bandar Tun Razak membabitkan Adnan Seman @ Abdullah (BN-UMNO), Datuk Kamarudin Jaffar (PKR) dan Rosni Adam (PAS).
Sementara itu, satu lagi kawasan, Parlimen Batu, menyaksikan pertandingan empat penjuru, membabitkan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (BN-GERAKAN) menentang Azhar Yahya (PAS) dan dua calon BEBAS iaitu VM Panjamothy dan Prabakaran Parameswaran.
Parlimen Wangsa Maju pada awalnya hampir menyaksikan pertembungan satu lawan satu berikutan calon PKR, Tan Yee Kew, lupa membawa MyKad dan tidak dibenarkan memasuki pusat pencalonan di SMK Wangsa Melawati, namun beliau bernasib baik kerana setelah menunggu lama, suaminya hadir membawa MyKad tersebut dan beliau kemudian dibenarkan bertanding di kawasan itu.
Sementara itu, hasrat Anggota Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua untuk terus menjadi calon dan mengekalkan kerusinya yang dipegang selama dua penggal, tidak kesampaian apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak permohonannya.
Ia berikutan Naib Presiden PKR itu telah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam Mac lepas, atas tuduhan mengeluarkan perkataan kesat, yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, pada 2014.
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948 menyatakan anggota parlimen akan hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda RM2,000.
Di PUTRAJAYA, kerusi parlimennya menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO), Zainal Abidin Kidam (PAS) dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (PKR-PPBM).
Di LABUAN, pertandingan memperlihatkan pertarungan empat penjuru melibatkan BN, PAS, Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah.
Datuk Rozman Isli (BN-UMNO) dicabar Ahmad Junid @ Junit Mohd Aling (PAS), Noor Halim Zaini (Warisan) dan Siti Zaleha S.W Ibrahim (Harapan Rakyat).
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN menguasai kerusi Titiwangsa dan Setiawangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kerusi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sembilan kerusi lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Kepong (DAP), Batu (Keadilan) Wangsa Maju (Keadilan), Segambut (DAP), Bukit Bintang (DAP), Lembah Pantai (Keadilan), Seputeh (DAP), Cheras (DAP) dan Bandar Tun Razak (disandang bekas anggota Keadilan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kemudian menjadi anggota Parlimen Bebas).
-- BERNAMA