Calon BN Kuah hadapi saingan empat penjuru





LANGKAWI, 28 April (Bernama) -- Selepas berjaya mengharungi cabaran perlawanan tiga penjuru dalam pilihan raya umum lepas, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah Nor Saidi Nanyan, kini pada Pilihan Raya Umum ke-14 berhadapan pertembungan empat penjuru.

Beliau diumumkan akan bersaing dengan calon PAS Mazlan Ahmad, Mohd Firdaus Ahmad daripada PKR dan calon Bebas Mohamad Ratu Mansor bagi merebut kerusi DUN itu yang mempunyai 21,400 pengundi.

"Ini pengalaman kedua, kali pertama saya menghadapi tiga penjuru, kali ini empat penjuru pula, namun bagi saya dalam mana-mana pertandingan pun kita tidak boleh anggap ia mudah dan selesa," katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Dalam PRU13, Nor Saidi memperoleh 10,263 undi mengatasi cabaran calon PKR, Ahmad Kasim yang memperoleh 3,892 undi dan calon Bebas Zaflee Pakwanteh yang hanya mendapat 117 undi.

"Berdasarkan pengalaman dan rekod lampau saya berkhidmat untuk warga DUN Kuah, saya percaya kerja kuat yang telah kita buat akan bercakap bagi pihak kita," katanya.

-- BERNAMA