PRU14: Perak banyak pertandingan tiga penjuru - Zambry





MANJUNG, 28 April (Bernama) -- Penamaan calon di Perak hari ini bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kebanyakannya melibatkan pertandingan tiga penjuru kecuali kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata hanya kawasan tertentu sahaja melibatkan pertandingan satu lawan satu antara BN dan kebanyakannya PKR-DAP.

"Saya dapati kesemua kawasan nampaknya mempunyai pertandingan, tidak ada kawasan yang menang secara percuma," katanya kepada pemberita di kediamannya.

Sebelum itu, Zambry menyerahkan borang penamaan calon bagi Parlimen Lumut di Dewan Mohd Anuar, Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini.

Pengerusi BN Perak itu yang julung kali bertanding di kerusi tersebut bakal berdepan dengan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PKR-Amanah) yang berpindah dari kerusi Anggota Parlimen Kuala Krai, Kelantan dan Mohammed Zamri Ibrahim (PAS).

Zambry yang merupakan anak kelahiran Pulau Pangkor berusia 56 tahun itu juga akan mempertahankan kerusi DUN Pangkor bagi penggal keempat, ditentang calon PAS Zainal Abidin Saad serta calon PKR-PPBM Nordin Ahmad Ismail.

Pada PRU lalu, beliau menewaskan calon PKR Mohd Saifullah Mohd Zulkifli serta calon Bebas J. Bernard Parenpa dengan majoriti 5,124 undi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata proses penamaan calon di semua kawasan negeri itu yang berlangsung selama sejam mulai pukul 9 pagi berjalan lancar dan tiada kekecohan berlaku di antara penyokong parti.

"Berdasarkan maklum balas yang saya terima, saya hubungi rakan di seluruh Perak, saya berpuas hati dengan keadaan keselamatan (semasa pencalonan). Ini menunjukkan bahawa kita mahukan sebuah negeri yang sentiasa aman walaupun kita berhadapan dalam suasana pilihan raya seperti hari ini."

"Sebagai menteri besar soal keselamatan merupakan perkara yang penting," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang telah bertugas memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Dalam pada itu, Zambry berharap agar tiada sebarang kekecohan dan ketegangan berlaku sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian di negeri ini.

-- BERNAMA