Tian Chua boleh kemuka petisyen ke mahkamah - Pengerusi SPR
PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua boleh mengemukakan petisyen ke mahkamah berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonannya untuk bertanding kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata Tian Chua boleh melaksanakan haknya dengan membawa ke muka keadilan bagi menentukan kasahihan keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk menolak pencalonannya itu.
"Kalau dia (Tian Chua) tidak puas hati, dia boleh bawa perkara ini ke mahkamah. Kemukakan petisyen dan bawa ia kepada pengadilan. Pihak SPR akan akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah nanti," katanya pada sidang media penamaan calon PRU14 dekat sini, hari ini.
Mohd Hashim berkata tindakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya menolak pencalonan Tian Chua selepas melihat peraturan dan undang-undang berkaitan keputusan mahkamah sebelum ini.
"Jumlah denda yang dikenakan (mahkamah) mungkin menyebabkan dia hilang kelayakan untuk bertanding," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Hashim berkata sekiranya dibuat petisyen maka keputusan muktamad sama ada Tian Chua layak untuk bertanding atau tidak pada PRU14 hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.
"Kita jangan kata dia tidak boleh bertanding kerana kita tidak tahu apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah nanti," katanya.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain menolak pencalonan Tian Chua bertanding kerusi Parlimen Batu berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.
Di dalam akta itu menyatakan mana-mana pihak sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas, maka individu ini secara automatik hilang kelayakan bertanding sebagai ahli Parlimen.
Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mac tahun lepas kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis dan dikenakan denda RM3,000.
Pada 2 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua dan sebaliknya mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Mohd Hashim berkata SPR sedang menunggu laporan penuh daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya berhubung kes calon PKR Dr S. Streram bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon kerana gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan SPR.
"Kami tak boleh membuat sebarang tuduhan dan dalam masa begini kami minta pihak yang tidak berpuas hati mengemukakan petisyen," katanya.
Berikutan kejadian itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau.
-- BERNAMA