Idris Haron tidak ambil mudah lawan di Sungai Udang

MELAKA, 28 April (Bernama) -- ?Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron menyifatkan lawannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Mohd Lokman Abd Ghani daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, bukan saingan mudah.
Sebaliknya kata Ketua Menteri Melaka itu, persaingan itu suatu yang perlu diberi perhatian khusus dengan strategi yang teratur bagi memastikan kerusi tersebut terus dapat dipertahankan beliau untuk BN.
"Walaupun saingan yang bakal saya hadapi hanya satu lawan satu, tidak seperti saingan di kerusi DUN lain di Parlimen Tangga Batu, ia tidak boleh dipandang mudah kerana ia boleh menjadi saingan getir."
"Namun saya dan rakan-rakan di Parlimen Tangga Batu ini akan bekerja dengan lebih kuat lagi berbanding sebelum ini untuk membuktikan BN akan terus menjadi pilihan rakyat di negeri dan negara ini," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Keris Laksamana di Kompleks Penjara Sungai Udang di sini, hari ini.
Pada PRU lalu, Idris mengalahkan calon PKR Asri Buang dengan kelebihan 9,136 undi.
Kerusi Parlimen Tangga Batu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon muka baharu daripada BN iaitu Datuk Zali Mat Yasin yang ditentang Zulkifli Ismail (PAS) dan Rusnah Aluai (PKR).
DUN Paya Rumput mencuri tumpuan apabila Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen bertanding atas tiket PKR menentang Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (BN) dan Rafie Ahmad (PAS).
-- BERNAMA