Khaidir Ahmad bertanding kerusi parlimen Temerloh, DUN Lanchang
TEMERLOH, 28 April, (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarang TV3 Mohd Khaidir Ahmad, 56, yang bertanding kerusi Parlimen dan Negeri atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, hadir di pusat penamaan calon lengkap berpakaian baju Melayu dan bertanjak.
Mohd Khaidir hadir di pusat penamaan calon Dewan Tun Razak di sini pagi tadi bersama isteri Faizah Yusof (sebagai penyokong) dan adiknya Aminurashid Ahmad (pencadang).
Mohd Khaidir yang ditemui Bernama, berkata beliau berpakaian demikian sebagai simbolik untuk menggambarkan kawasan Temerloh sebagai tempat yang kaya dengan sejarah perjuangan.
"Sekarang tidak ada lagi pejuang kemerdekaan kerana negara kita telah lama merdeka, tetapi saya akan tetap berjuang untuk alam sekitar, seni budaya dan pembelaan rakyat," katanya.
Mohd Khaidir yang juga anak saudara kepada tokoh nasionalis negara, Pak Sako akan bertanding kerusi Parlimen Temerloh menentang Pengerusi BN Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin daripada Barisan Nasional dan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir.
Selain itu, turut bertanding di kawasan berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus (PAS) dan guru agama Muhd Fakhrudin Abu Hanipah (Bebas).
Dua individu lagi yang sebelum ini dilapor mahu bertanding calon Bebas, Pensyarah Isma Nazom Abdul Hamid, 52, dan bekas Pegawai Daerah Temerloh Datuk Abu Jamal Nordin, 62, tidak kelihatan sehinggalah masa serahan borang penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi.
Khaidir juga akan bertanding empat penjuru bagi kerusi DUN Lanchang, menentang Mohd Sharkar (BN), Abas Awang (PKR) dan Hasan Omar (PAS).
Seorang lagi calon Bebas iaitu bekas ADUN Mentakab yang juga bekas angggota MCA Datuk Chuah Boon Seong, 63, turut bertanding, sekali gus menyaksikan pertembungan empat penjuru di kawasan DUN Mentakab.
Katanya, tujuannya bertanding kerusi DUN Mentakab ialah bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana percaya masih ramai yang memerlukan khidmatnya selepas menjadi wakil rakyat BN selama dua penggal.
-- BERNAMA