Pemimpin utama BN pertahan kerusi bagi kesinambungan perkhidmatan cemerlang





Oleh Ismail Amsyar Mohd Said

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Para pemimpin utama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) akan bertanding mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Pengerusi BN dan juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertahankan kubu kuatnya di Parlimen Pekan yang diwakilinya sejak 1966. Beliau dicabar tiga calon lain termasuk seorang calon Bebas.

Begitu juga Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong untuk penggal kelima manakala Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam akan mempertahankan ?gawangnya' di Parlimen Segamat yang disandang sejak 2004.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Mah akan berhadapan calon DAP yang juga Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. Nga adalah penyandang kerusi Parlimen Taiping yang diwakilinya sejak 2008.

Dalam kem pembangkang pula, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di kawasan Parlimen Langkawi dengan meninggalkan kubu kuatnya sebelum ini iaitu Kubang Pasu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini menyandang kerusi empuknya di Parlimen Permatang Pauh akan bertanding di Parlimen Pandan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu akan mencuba nasib di Parlimen Kota Raja selepas gagal memenangi kerusi Parlimen Pendang pada PRU13.

Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Sr. Azmi Hassan Azmi Hassan berkata keputusan pemimpin utama BN untuk kekal bertanding di kawasan masing-masing lebih kepada meneruskan kecemerlangan perkhidmatan mereka kepada masyarakat kawasan berkenaan.

"Pemimpin Pakatan Harapan (PH) berpindah kawasan kerana ingin bertanding di kawasan yang mereka rasakan lebih selamat untuk mereka dan kerjaya politik mereka. Strategi ini lebih untuk memastikan pemimpin-pemimpin utama PH terus kekal sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen."

"Kita lihat Mohamad Sabu yang sebelum ini kalah secara berturut-turut dalam tiga PRU yang lepas. Kali ini beliau akan bertanding di Parlimen Kota Raja, yang dirasakan lebih selamat untuk beliau berbanding di Pendang," kata Azmi kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan ?Mat Sabu', sebelum ini pernah memenangi Parlimen Nilam Puri (1990), Parlimen Kubang Kerian (1995) dan Parlimen Kuala Kedah (1999). Beliau bagaimanapun tewas di Parlimen Kuala Kedah pada 2004, di Kuala Terengganu (2008) dan Parlimen Pendang (2013).

Azmi juga yang tidak menolak kemungkinan DAP boleh merampas kembali Teluk Intan daripada BN dalam persaingan sengit antara Mah dan Nga,

Katanya dikatakan pada PRK Teluk Intan 2014, ramai penyokong DAP melakukan protes dengan tidak keluar mengundi kerana calonnya pada ketika itu, Dyana Sofya dilihat tidak sinonim dengan perjuangan DAP pada waktu itu.

Namun, menurut Azmi, DAP perlu berhati-hati kerana salah satu sebab mereka menurunkan Nga, selain mengharap lebih ramai penyokong DAP keluar mengundi, adalah untuk membunuh karier politik Mah dan parti Gerakan.

"Perlu diingat bahawa Gerakan dan MCA telah banyak berjasa bukan sahaja di Teluk Intan tetapi di seluruh Malaysia. Jadi dengan menggunakan strategi membunuh kerjaya politik Mah, ia akan menawarkan hati pengundi Cina di Teluk Intan.

"Sebab itu saya kata strategi ini juga boleh memakan DAP kerana ia akan menyebabkan pengundi Cina merasa was-was, sama ada ingin membunuh Parti Gerakan yang dikatakan membawa suara masyarakat Cina dalam BN, ataupun memberi kemenangan kepada DAP," jelasnya.

Dalam pada itu pemimpin-pemimpin utama pembangkang yang lain terus mempertahankan kerusi masing-masing termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh yang dimenanginya semasa masih bersama BN, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Parlimen Bagan dan Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Parlimen Semporna yang sebelum ini dimenanginya atas tiket BN.

Muhyiddin dan Shafie turut bertanding di peringkat DUN pada 9 Mei ini dengan masing-masing di DUN Gambir dan DUN Senallang.

Sementara itu berhubung Tan Sri M. Kayveas yang dipecat oleh Majlis Tertinggi MyPPP baru-baru ini dan keputusannya untuk tidak bertanding di Parlimen Cameron Highlands sebagai calon Bebas, Azmi berkata sikap beliau wajar diteladani oleh anggota mana-mana parti yang tidak dicalonkan.

Dalam pada itu empat daripada lapan presiden parti komponen BN di Sabah dan Sarawak turut mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau di Parlimen Tuaran, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di DUN Tambunan,Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen Bintulu dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian di Parlimen Stampin.

Pairin bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi Parlimen dan digantikan oleh adik iparnya yang juga Timbalan Presiden PBSDatuk Daniel Kinsik. Selain Pairin, Tan Sri Joseph Kurup juga tidak akan bertanding di Parlimen Pensiangan bagi memberi laluan kepada anaknya, Arthur Joseph Kurup untuk bertanding di kerusi tersebut.

Sementara Presiden LDP Datuk Seri Teo Chee Kang akan bertanding di DUN Tanjong Kapor manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Presiden PBB Datuk Abang Johari Tun Openg masing-masing tidak bertanding kerusi Parlimen di Sarawak.

-- BERNAMA