Musa berdepan dua pencabar




SANDAKAN, 28 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berdepan dua pencabar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu ditentang Asmara Abdul Rahman, 63 daripada Warisan dan Osman Enting, 75 yang mewakili Parti Kebangsaan Sabah.

Pencalonan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Fauziah Giau.

Pencalonan Musa yang tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serba Guna Libaran pada 9 pagi dicadangkan oleh Amsain Jausin dan disokong Setiausaha UMNO Libaran Datuk Salzo Asa.

Ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon itu, Musa berkata beliau gembira kerana proses berkenaan berjalan lancar dan aman.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengikut peraturan pilihan raya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sepanjang PRU14 ini.

Mengenai kempen pilihan raya BN Sabah, Musa berkata beliau sudah meminta semua pemimpin UMNO dan BN terus bekerja.

Katanya berdasarkan fakta dan bukti akan kerja-kerja yang dijalankan oleh BN selama ini di Sabah, beliau percaya rakyat akan terus memberi mandat kepada parti itu.

Pada PRU13, Musa mengatasi empat pencabarnya dengan majoriti 11,565 undi.

-- BERNAMA