SPR: 1,984 kertas penamaan calon parlimen, DUN sah diterima





PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Sejumlah 1,984 kertas pencalonan bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). tidak termasuk Sabah, telah sah diterima sepanjang tempoh penamaan calon yang berlangsung pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata data yang diumumkan semasa sidang media pada 2.45 petang tersebut tidak melibatkan Negeri di Bawah Bayu itu kerana ibu pejabat SPR masih menunggu maklumat terperinci??????? dari negeri berkenaan.

"Sebanyak 590 kertas penamaan calon diterima untuk kerusi Parlimen manakala 1,394 lagi adalah kerusi DUN. Sepanjang tempoh penamaan calon, terdapat 11 kertas penamaan calon ditolak atas pelbagai sebab iaitu tiga kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN," katanya dalam sidang akhbar di Menara SPR di sini, hari ini.

Tempoh penamaan calon berlangsung dari 9 pagi hingga 10 pagi ini di 222 pusat penamaan calon seluruh negara.

Mohd Hashim berkata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau hari ini, selepas calon PKR, S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon kerana gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan SPR.

Hanya seorang, iaitu K.Kanafatty yang mengemukakan kertas pencalonan sebagai calon Bebas di DUN Skudai, menarik diri semasa tempoh penamaan calon berlangsung, katanya.

-- BERNAMA