Persaingan lima penjuru beri BN kelebihan menang di Tuaran - Tangau
TUARAN, 28 April (Bernama) -- Persaingan lima penjuru bagi kerusi Parlimen Tuaran dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang sekali gus mempertahan kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden UPKO berkata penyertaan banyak calon bertanding di kawasan itu memperlihatkan amalan demokrasi di negara ini masih subur.
"Persaingan lima penjuru ini satu keadaan menarik. Ini bererti demokrasi negara kita subur. Kita di BN mengalu-alukan pertandingan sihat ini, dan peluang kita (BN) juga bertambah cerah dengan lebih ramai calon bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengemukakan borang pencalonan di sini hari ini.
Tangau akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Tuaran apabila dicabar calon PKR Chrisnadia Sinam, Mohd Aminuddin Aling (PAS), Syra Peter @ P Gom (Harapan Rakyat) dan Datuk Kalakau Untol (PCS).
Pada PRU13 lepas, Tangau menang kerusi Parlimen Tuaran dengan majoriti 5,190 undi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang merupakan calon BN di Parlimen Sepanggar, berkata penyertaan ramai calon bagi kerusi Parlimen itu juga menunjukkan amalan demokrasi Malaysia adalah baik, selain berharap calon bertanding berkempen secara sihat.
Dalam perkembangan berkaitan, Rahman melihat rakyat Sepanggar mahukan satu harapan baharu demi masa depan mereka bersandarkan kepada rekod pencapaian terbaik dan perancangan pembangunan serta wawasan yang efektif.
Rahman akan ditentang tiga calon pembangkang, Jeffrey Kumin (SAPP), Robert Sopining (PCS) dan Mohd Azis Jamman (Warisan) bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.
Di KIMANIS, penyandang kerusi Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yakin rakyat di kawasan berkenaan tahu memilih dan menilai wakil rakyat terbaik demi masa depan mereka.
Di KENINGAU, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, melahirkan keyakinan pengundi akan berpihak kepada BN berdasarkan rekod kerja dilakukannya di kawasan tersebut.
Presiden PBS itu akan berdepan saingan daripada adiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada parti Star dan adik iparnya Justin Alip yang mewakili Warisan bagi merebut kerusi DUN berkenaan.
Pairin berkata pertembungan beliau dan adiknya itu bukan perkara baharu kerana ini bukan kali pertama mereka bersaing dalam gelanggang sama mewakili parti masing-masing.
"Bagaimanapun, kami saling hormat menghormati," katanya.
Di KOTA MARUDU, pencadang dan penyokong calon BN yang terdiri dalam kalangan anggota UMNO dan PBS, jelas memperlihatkan mereka mengamalkan solidariti dan semangat kerjasama antara satu sama lain.
Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yakin perpaduan itu mampu membawa kemenangan kepada BN bagi kerusi Parlimen dan kedua-dua DUN iaitu Tandek dan Matunggong.
"Kita mempunyai wawasan dan perjuangan sama untuk memastikan BN terus menerajui tampuk kepimpinan negara," katanya.
-- BERNAMA