Pengundi luar negara dinasihat tidak simpan lama kertas undi
PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi tidak hadir (PTH) luar negara supaya tidak menyimpan kertas undi pos mereka terlalu lama bagi mengelakkan ia sampai lewat kepada pegawai pengurus pilihan raya pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.
Mengulas kebimbangan Bersih 2.0 mengenai tempoh terhad untuk PTH luar negara menerima dan mengirim kertas undi pos mereka, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata kertas undi tersebut akan dihantar pada hari ketiga selepas penamaan calon dan mereka mempunyai tempoh mencukupi untuk mengirim semula kertas undi itu.
"Jika dia terima dan dia simpan terlalu lama, kita pun kadang-kadang begitu juga, pada saat-saat akhir baru hendak hantar, sudah pasti kita akan berhadapan dengan masalah."
"Sebab itu saya sering meminta pengundi di luar negara supaya apabila dia terima sahaja kertas undi, buat pilihan dan terus hantar (kirim) kepada pegawai pengurus pilihan raya. Kertas itu akan disimpan di tempat selamat sehingga waktu pengiraan undi nanti," katanya pada sidang media mengenai proses penamaan calon PRU14, di sini hari ini.
Bersih 2.0 sebelum ini meminta penjelasan SPR berhubung tempoh singkat untuk PTH luar negara mengirim semula kertas undi mereka supaya sampai kepada pegawai pengurus pilihan raya sebelum 5 petang 9 Mei nanti memandangkan cuti umum pada 1 Mei.
-- BERNAMA