Polis nafi halang calon PKR kemukakan borang di Rembau





KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kononnya anggota polis menghalang calon parti itu Dr S. Streram memasuki Dewan Seri Rembau untuk mengemukakan borang pencalonan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Beliau berkata penugasan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya melibatkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam dan tidak berkaitan dengan sebarang proses penamaan calon yang dikendali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Polis tidak pernah halang mereka (calon untuk mendaftar), jika pihak pegawai SPR minta bantuan polis mungkin SPR ada alasan tersendiri berbuat demikian."

"Jika dia (Rafizi) buat tohmahan tidak berasas kepada PDRM lagi, kami akan panggil dia apa sebab dia menuduh PDRM dengan tuduhan sedemikian," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini.

Dr Streram dikatakan dilarang memasuki pusat pencalonan itu di Rembau kerana tidak membawa pas SPR bersamanya.

Selepas pencalonan di Dewan Seri Rembau ditutup, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub mengumumkan Datuk Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau.





-- BERNAMA