Perak saksikan pertembungan tiga penjuru di 66 kawasan

IPOH, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 66 kawasan di Perak bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), PAS dan pakatan pembangkang yang bertanding menggunakan nama serta logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Mohd Nazri Ismail berkata pertembungan sengit itu membabitkan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 21 kerusi Parlimen di seluruh Perak.
Sementara itu, beliau berkata pertandingan satu lawan satu juga bakal disaksikan di 12 kawasan dengan 10 daripadanya untuk kerusi DUN iaitu di Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Pantai Remis, Astaka serta Keranji manakala dua kerusi Parlimen pula di Ipoh Barat dan Ipoh Timur.
"Kita juga akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di lima kawasan iaitu di DUN Batu Kurau, Larut; Changkat Jering, Taiping; Hulu Kinta, Tambun; Sungai Manik, Pasir Salak dan Parlimen Sungai Siput," katanya pada Sidang Media PRU14 Negeri Perak 2018 di Pusat Media PRU14 di sini, hari ini.
Katanya sebaik selesai penyerahan semua borang pencalonan di kesemua 24 pusat penamaan calon pada 10 pagi tadi, PRU14 kali ini menyaksikan 242 calon bertanding membabitkan 171 calon di DUN dan 71 orang di kerusi Parlimen.
"BN dan PKR masing-masing akan bertanding di semua 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN, PAS (21 Parlimen, 44 DUN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) (2 Parlimen, lima DUN) manakala Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan bebas masing-masing dua kerusi DUN."
"Kita juga menolak kertas penamaan calon daripada seorang calon bebas di DUN Sungai Rapat selepas beliau gagal memenuhi keperluan untuk melayakkannya bertanding," katanya.
Mohd Nazri berkata nama-nama calon yang layak bertanding diumumkan kira-kira 12.15 tengah hari tadi serentak di seluruh pusat penamaan calon di negeri itu dan proses tersebut berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
"Alhamdulillah, di luar (pusat penamaan calon) memang sibuk sikit dan di dalam tiada kekacauan berlaku berikutan pihak polis menjaga dan mengawal keselamatan dengan baik," katanya.
-- BERNAMA