Tiada sekatan calon berkempen di luar kawasan bertanding - KPN





KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menafikan dakwaan kononnya polis menyekat calon-calon parti politik berucap atau berceramah di luar kawasan yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata mengikut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, sesiapa sahaja diberi ruang dan peluang untuk berkempen di satu-satu kawasan pilihan raya dengan syarat nama mereka tersenarai dalam permit yang telah diluluskan.

"Dakwaan mengenai undang-undang baharu yang dikatakan menyekat mana-mana calon daripada berucap di luar kawasan yang ditandingi mereka adalah tidak benar dan tiada had tempoh masa ditetapkan untuk membuat permohonan."

"Selain itu, calon atau ejen boleh menjemput mana-mana individu untuk berkempen, dengan syarat penama tersebut telah disenaraikan dalam permit yang diluluskan, mengikut tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam permit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Fuzi, pihak yang ingin mengadakan sebarang perhimpunan, hendaklah memberi notis pemberitahuan berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

-- BERNAMA